Friday, 6 March 2015

Sultan Tengah Darul Hana . . .


sARAWAk - Pada tahun 1958M, Sultan Muhamad Hasan, Sultan Brunei yang ke-9 mangkat setelah menerajui takhta Brunei selama 19 tahun (1582-1598M). Takhta baginda kemudiannya diwarisi oleh puteranya Sultan Jalilul Akhbar (1598-1659M).

Ketika Abdul Jalilul dilantik sebagai Sultan, adindanya Pengiran Muda Tengah sebenarnya menyimpan hasrat untuk menjadi Sultan Brunei juga. Hasrat ini disampaikan dalam cakap gila bahasa bertujuan mencari retak dengan abangnya, Pengiran (Sultan) Jalilul Akbar.

Pengiran Muda Tengah mengungkit hal ini dengan menyoal para menteri dan orang tua2 yang menjaga Adat Istiadat Diraja Brunei berhubung persoalan siapa yang lebih layak menjadi Sultan Brunei.

Alasan Pengiran Muda Tengah ialah dia lebih layak menjadi sultan kerana ayahandanya Sultan Muhamad Hasan dipuspakan (ditabalkan) apabila dia dilahirkan, anak yang gahara. Oleh gelaran anak gahara ini Pengiran Muda Tengah berani menyatakan bahwa dia berhak menaiki takhta kesultanan Brunei setelah ayahnya mangkat.

Pengiran Muda Tengah dikatakan gagah dan berani tetapi mempunyai pendirian tidak tetap. Peribadi ini merunsingkan Sultan Jalilul Akbar yang juga tidak mahu hal ini berlarutan.

Maka Sultan Jalilul Akbar pun memperoleh rancangan untuk mengeluarkan Pengiran Muda Tengah dari Brunei. Maka disarankan kepada adiknya supaya Sarawak menjadi kerajaan beliau. Pengiran Muda Tengah  pun menerima cadangan ini.

Keberangkatan Pengiran Muda Tengah ke Sarawak (kira2 1599M) diiringi oleh seribu sakai (hulubalang), Kedayan dan orang Pulau Bunut serta beberapa pegawai dan anak orang baik-baik (pegawai yang pernah memegang jawatan penting dalam kesultanan Brunei). Sesampai di Sarawak, Sultan Tengah pun mendirikan lapau dan istana.

Baginda juga mengurniakan gelaran2 Datu Petinggi Seri Setia, Datu Shahbandar Indera Wangsa, Datu Amar Setia Diraja dan Datu Temenggong Laila Wangsa (gelaran2 di antaranya masih digunakan di Sarawak bermula dari zaman Sultan Tengah, pemerintahan Brooke dan sehingga kini).

Tidak lama selepas bersemayam di Sarawak, baginda pun berhajat melawat ibu saudaranya yang berkahwin dengan Sultan Johor iaitu Sultan Abdul Ghafur Muhiyuddin Shah ibnu Sultan Abdul Kadir Alauddin Shah (empayar Johor lama termasuk Kepulauan Riau-Lingga hingga Pahang moden).

Pada masa yang sama berlangsung majlis berjaga-jaga perkahwinan putera Sultan Johor.

Dalam majlis itu, Sultan Tengah telah menampar seorang pembesar Johor kerana pintalan perca pembesar tersebut terkena muka Sultan Tengah. Peristiwa ini telah menimbulkan kemurkaan Sultan Johor dan ibu saudaranya, Raja Bonda menasihati Sultan Tengah meninggalkan Johor dengan segera untuk mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini selanjutnya.

Dalam pelayaran mulih (kembali) ke Sarawaksekunyir kenaikan Sultan Tengah dilanda ribut lalu terdampar di Sukadana. 

Di sini baginda bertemu seorang raja Hindu-Majapahit yang baru memeluk ISLAM bernama Penambahan Giri Mustika (Sultan Muhammad Safiuddin. Tidak lama selepas itu, Sultan Tengah pun dikahwinkan dengan adinda Penambahan Giri Mustika, Puteri Surya Kesuma.

Di Sukadana, Sultan Tengah berguru dan mempelajari selok-belok mengajar ISLAM daripada Sheikh Shamsuddin yang mengajak Penambahan Giri Mustika memeluk ISLAM.

Kegiatan dakwah Sultan Tengah bermula setelah baginda berada di Sukadana dan kegiatan menegakkan syiar Islam diteruskan dari Sukadana. 

Kemudian Sultan Tengah mendirikan kerajaan sendiri di Kuala Bangun kira2 1600M, Sungai Sambas setelah mendapat perkenan daripada kekandanya, Penambahan Giri Mustika.

Perjalanan kehidupan Sultan Tengah bergerak dari Sukadana ke Kota Lama. Kota Lama juga diperintah oleh seorang raja Hindu-Majapahit bernama Ratu Sepudak. Usaha dakwah baginda diteruskan di sini tanpa tentangan dan halangan Ratu Sepudak kecuali anak saudara Ratu, Pengiran Arya Mengkurat.

Sultan Tengah hampir dijadikan Sultan Kota Lama jika tidak ditentang Pengiran Arya Mengkurat. Takhta sebaliknya telah diwariskan kepada anak saudara Ratu Sepudak, Pengiran Prabu Kenchana yang bergelar Ratu Anum Kesumayuda, waima, baginda masih belum masak untuk memerintah negeri.

Untuk merapatkan hubungan, Puteri Ratu Sepudak, Puteri Mas Ayu Bongsu dikahwinkan dengan putera sulung Sultan Tengah, Raden Sulaiman. Raden Sulaiman kemudian dilantik oleh Ratu Anum Kesumayuda sebagai wazir Kota Lama, hal yang kurang disenangi Pengiran Arya Mengkurat.

Sultan Tengah terus mengembara dan menjejak sebuah lagi tempat iaitu Matan (1630M) untuk menyambung kerja2 dakwahnya. Di Matan, Sultan Tengah telah berkahwin dengan Puteri Matan dan berputerakan Pengiran Mangku Negara yang menjadi Sultan Matan kemudiannya.

Ketika di Matan, Sultan Sulaiman sering mengunjungi ayahandanya untuk mempelajari selok-belok pemerintahan negara di samping mengadu masalah kekejaman dan pakatan jahat Pengiran Arya Mengkurat dengan pengikut-pengikutnya yang tidak suka akan agama ISLAM.

Mereka bahkan menghasut isteri Raden Sulaiman,Puteri Mas Ayu keluar ISLAM, membakar masjid dan membunuh ramai penganut ISLAM kerana marah melihat kemerosotan pengaruh agama Hindu di Kota Lama.

Antara yang terbunuh ialah ulama Kiyai Setia Bakti yang banyak membantu Raden Sulaiman dalam usaha dakwah di Kota Lama, Ratu Anum Kesumayuda telah dipaksa memilih kata dua oleh Pengiran Arya Mengkurat sama ada membuang Raden Sulaiman dari Kota Lama atau baginda sendiri akan disingkirkan dari takhtanya. Ratu Anum Kesumayuda serba salah.

Oleh itu Raden Sulaiman telah diizinkan oleh ayahandanya kembali ke Kuala Bangun, Sambas dan meneruskan pemerintahan bagi pihak ayahandanya dengan membawa gelaran Sultan Muhamad Saifuddin 1 (1631M). (Gelaran ini juga telah dipohon restu daripada ayahanda saudaranya di Brunei iaitu Sultan Jalilul Akbar).

Keberangkatan Raden Sulaiman ke Sambas diikuti oleh seluruh penduduk ISLAM yang baru dan bukan Kota Lama sehingga negeri ini sunyi dan lengang. Penghijrahan besar-besaran ini juga disebabkan oleh kekerasan pemerintahan Pengiran Arya Mengurat yang menindas penduduk Kota Lama.

Ratu Anum Kesumayuda juga keluar dari Kota Lama apabila takhtanya dirampas oleh Pengiran Arya Mengkurat dan menetap juga di Sambas setelah memeluk ISLAM sebelum mendirikan kerajaan baru di Kota Balai Pinang.

Setelah beberapa lama berada di Matan, Sultan Tengah berhasrat kembali ke Sarawak. Hasrat ini tidak kesampaian. Sebaik sahaja baginda mendarat di sebuah tempat bernama Batu Buaya di Santubong, dengan tujuan untuk membuang air besar, baginda diaruk di rusuknya dengan tempuling (lembing).

Petualang itu sempat baginda bunuh dengan tikaman keris. Tapi Sultan Tengah cedera dan kecederaan ini menyebabkan baginda lindung di Santubong kira2 pada tahun 1641M setelah 10 tahun Raden Sulaiman menjadi raja di Kuala Bangun.

Pemakaman layuan baginda dilakukan di Santubong kerana waktu hilir dari Sarawak menuju Kuala Sungai Sarawak terus ke Santubong memakan masa yang begitu panjang.

Keempat-empat Datu bersetuju untuk memakamkan saja Sultan Tengah di Santubong tidak jauh dari tempat baginda ditikam, Batu Buaya. Maka berakhirlah riwayat seorang Sultan yang pertama dan terakhir Sarawak yang tidak sempat untuk membangunkan negeri kurniaan kekandanya Sultan Jalilul Akbar.



Makam baginda terdapat di kaki Gunung Santubong, satu-satunya tempat persemadian yang begitu strategik membelah tanjung daratan di kaki gunung.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...